Pengurus Residen A’Famosa Resort, Khaled Mohammad berkata, dua ekor anak singa iaitu jantan dan betina ma-sing-masing berusia enam serta lima bulan itu ditempatkan di kawasan safari yang mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 61 hektar.
Menurutnya, kos membawa pasangan anak singa putih itu menelan belanja keseluruhan kira-kira RM200,000 dari tempat asalnya ke Safari Wonderland selain mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan di dua buah negara.
“Kita mendapati spesis anak singa putih ini adalah yang sukar untuk diperoleh dan pihak kita telah ditawarkan menjaganya dari pusat perlindungan haiwan berkenaan di negara asalnya berikutan ibu bapa mereka tidak mampu lagi untuk menjaga anak-anaknya.
“Pasangan anak singa ini akan dibesarkan di tempat ini serta dijaga oleh pelatih safari yang berpengalaman dan kita berharap mereka dapat melahirkan anak-anak sekali gus membiakkan populasi spe-siesnya di safari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan dan program A’famosa Resort bersama media di sini, kelmarin.
Khaled berkata, pihaknya percaya kehadiran dua ekor anak singa putih itu pastinya menjadi tarikan baharu yang mempunyai keistimewaan tersendiri sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Safari Wonderland.
Menurutnya, selain pasangan singa itu, pusat itu juga mempunyai sebanyak 23 ekor harimau serta haiwan liar lain seperti beruang, singa, zirafah, gajah dan pelbagai lagi.
“Di samping itu para pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman Safari Adventure iaitu menaiki trak untuk melihat haiwan liar yang terdapat dalam kawasan berkenaan.
“Selain itu, pengunjung boleh menaiki bot untuk ke Monkey Island yang menempatkan beberapa spesies monyet, selain melihat hidupan reptilia serta pertunjukan burung dan Wild Wild West Show yang pasti mencuit hati di Safari Wonderland,” katanya.
Tambahnya, tiket masuk ke tempat itu berharga RM56 bagi dewasa dan RM43 untuk kanak-kanak pada hari biasa, manakala RM 59 dewasa dan Rm47 pada hari hujung minggu